Sunday 7 July 2013

Teater “SELAK:SERAK”, dedikasi buat mangsa kematian dalam tahanan

Sebuah teater yang didedikasikan kepada mangsa kematian dalam tahanan pihak berkuasa berjudul “SELAK:SERAK” akan dipentaskan untuk tontotan umum ini di PJ Live Arts, Jaya One, Petaling Jaya, mulai 11 hingga 14 Julai ini.

Teater “SELAK:SERAK” produksi Rumah Anak Teater (RAT) adalah arahan Ayam Fared, seorang penulis dan artis yang memenangi anugerah Pengarah Terbaik dalam BOH Cameronian Arts Awards 2012.

Menurut Pengarah Urusan RAT, Faisal Mustaffa, pementasan teater itu dibuat pada Julai bersempena memperingati ‘bulan kematian’ bagi mendiang Teoh Beng Hock dan R Gunaegaran.

“Kami mahu memberi kesan kepada masyarakat supaya sedar mengenai keganasan pihak berkuasa terutamanya polis terhadap mangsa dalam tahanan mereka,” katanya.

Menurut beliau, budaya penderaan dan keganasan oleh pihak berkuasa perlu dibanteras kerana tidak mustahil kes sebegini akan berulang.

“Tidak mustahil ia juga boleh berlaku kepada kita, kepada keluarga kita. Kita tidak boleh menganggap pihak polis atau pihak berkuasa lain kebal daripada dikenakan hukuman,” tegas beliau.

Bagi Pengarah Teater, Ayam Fared, isu ini bukan semata-mata mengetengahkan atau sekadar memperingati kematian Beng Hock.

“Kematian Beng Hock bukan sekadar isu yang membabitkan keluarga atau temannya. Kematian beliau membabitkan kita sebagai rakyat Malaysia. Ini adalah isu serius membabitkan keganasan pihak berkuasa.

“Di Malaysia, banyak kes yang berlaku, tapi tidak selesai,” ujar beliau.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Menurut beliau, Pemuda Sosialis DAP menyokong penuh segala usaha menganjurkan teater ini demi meningkatkan kesedaran masyarakat betapa pentingnya peri kemanusiaan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Kematian dalam tahanan pihak berkuasa adalah isu serius. Apa yang kita dapat tahu melalui pendedahan di Parlimen, dari 235 tahanan yang mati, hanya dua kes yang didapati bersalah.

“Kita amat berharap, pementasan teater ini dapat bantu mendidik masyarakat bahawa mereka mempunyai hak. Pihak penyiasat tidak punya apa-apa kuasa untuk menghukum selagi tidak dijatuhkan kesalah oleh mahkamah,” ujarnya.

Menurut wakil Suara Rakyat Malaysia (SUARAM),Thevarajan, inisiatif RAT patut dipuji dan diperluaskan.

“Pada tahun lalu, sembilan kematian dalam tahanan polis dicatatkan dan tahun ini saja meningkat kepada 10 orang. Nampaknya, perkara itu tidak pernah berhenti dan ia mewajarkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC),” katanya.

Bagi Koordinator NGO Malaysia for Beng Hock, Ng Yap Hwa, teater ini mewakili semua kes kematian dalam tahanan pihak berkuasa yang berlaku di Malaysia.

“Kes Beng Hock meningkatkan kesedaran masyarakat. Ia mempunyai elemen politik sama seperti yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa reformasi.

“Adalah amat penting bagi NGO atau mana-mana pihak memperjuangkan mereka yang dizalimi pihak berkuasa,” katanya.

Pementasan “SELAK:SERAK” yang berdurasi 60 minit ini bakal menampilkan dua kolaborator dan pelakon Lorna Hoong, seorang graduan tari Akademi Seni budaya dan Warisan Malaysia (ASWARA) yang giat dalam pelbagai pementasan, lakonan dan penerbitan digandingkan bersama kolaborator Khairil Ridzuan K’N yang merupakan seorang graduan lakonan dari ASWARA dan giat dalam dunia lakonan filem seperti Hati Malaya 1957, Songlap, Jalan Pintas dan Gadoh.

Pementasan “SELAK: SERAK” akan dimulakan jam 8.30 malam pada 11 hingga 13 Julai manakala jam 3.00 petang pada 13 dan 14 Julai ini.

Tiket boleh didapati terus di PJ Live Art, Jaya One Petaling jaya atau secara online di www.tix.my berharga RM50, RM30 dan RM25 bagi pelajar dan OKU. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-79600439 atau 017-2289849. –Roketkini.com 

Saturday 15 June 2013

“Kampung Seni” Padang Jawa jadi ikon usaha murni anak muda

Oleh: Hafiz Zainuddin 

“PADA mulanya masyarakat kampung agak janggal dengan cadangan saya…” – Aisyah Baharuddin, Artis

TEMBOK kelabu yang kusam, comot dan berdebu sudah hilang. Dinding pagar yang warnanya luntur, sudah pun berubah wajah. Pemandangan menyakitkan mata dengan lambakan tempelan poster ubat kuat, urut batin, pinjaman wang yang terpamer sepanjang tembok jejantas dan laluan jalan atas sudah ghaib. Semuanya digantikan dengan karya lukisan mural dan grafiti oleh artis, anak-anak muda dan kanak-kanak sekitar yang peduli pada lingkungan mereka.

Dua kampung yang menjadi titik temu sempadan bandaraya Shah Alam dan Klang telah menjadi saksi bangkitnya sebuah gerakan seni untuk masyarakat. Kampung Padang Jawa dan Kampung Karuppiah (kejiranan Padang Jawa) melakar sejarahnya tersendiri.

Anak muda peduli pada lingkungan

Gerakan seni ini dipelopori oleh sebuah komuniti seni yang dinamakan T.I.G.A bermaksud Tindakan Gerak Asuh. Ia diasaskan oleh Aisyah Baharuddin, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada UiTM bersama dua lagi teman iaitu Mohamad Idham Ismail, graduan Unisel yang menamatkan pengajian dalam jurusan Senireka Grafik dan Farhana Mohd Tajali juga graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus UiTM.

Aisyah merupakan tunjang utama T.I.G.A  berpengalaman luas dalam bidang seni lukis, mural, seni persembahan dan hampir 15 tahun menceburkan diri sepenuh masa dalam aktiviti seni malah beliau acap kali menyertai pameran lukisan yang diadakan di seluruh negara.

Hingga setakat ini, komuniti T.I.G.A yang beroperasi di Pusat Sekitar Seni, Kampung Karuppiah berjaya memimpin kanak-kanak dan remaja kejiranan ini untuk turut serta meraikan kepelbagaian seni dan menambah kemahiran mereka dalam bidang seni lukis. Hujung minggu bagi anak-anak ini tidak lagi menjadi satu hujung minggu yang membosankan dengan tayangan Sponge Bob yang diulang-ulang.

“Kampung seni pertama di Selangor”

Siapa sangka, kejiranan Padang Jawa mencatat sejarah pada 23 Mac 2013 lalu apabila sebahagian besar dinding tembok dan pagar rumah laluan utama dilakar dengan pelbagai bentuk lukisan mural dan grafiti berwarna-warni membawa mesej sivik mengangkat tema alam sekitar dalam Festival Seni Jalanan Padang Jawa atau lebih dikenali sebagai Padang Jawa Street Art Festival 2013 (PJSAF).

Tema alam sekitar dengan mempromosikan aktiviti kitar semula dan menjaga kebersihan amat bersesuaian dengan implementasi dasar hijau Kerajaan Negeri Selangor mahu pun Kerajaan Persekutuan. Atas usaha gigih komuniti ini, kini kejiranan Padang Jawa sudah digelar orang sebagai “Kampung Seni”.

Menurut Pengarah PJSAF, Aisyah Baharuddin, festival sebegini merupakan julung-julung kali diadakan dalam kejiranannya itu dan beliau tidak menolak kemungkinan ianya adalah yang pertama kali dianjurkan di Selangor.

“Idea untuk menjalankan festival ini timbul apabila melihat kepada persekitaran kampung dan berasa ‘sakit’ dengan pemandangan tembok yang banyak ditampal dengan ‘iklan haram’.

“Saya fikir, dengan kemahiran yang ada bersama teman yang lain, mungkin kami boleh lakukan sesuatu untuk kampung dan masyarakat di sini,” ujar Aishah ketika ditemui baru-baru ini.

Ditanya mengenai sumber kewangan dan peralatan, pengasas T.I.G.A itu berkata mereka mendapat tajaan dari syarikat swasta, Nippon Paint (M) Sdn Bhd dan kerajaan melalui Dana Belia 1Malaysia.

PJSAF turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Jawa, Balai Seni Visual Negara (BSVN), Komuniti Buku Jalanan, Media Legal dari Jakarta, gabungan artis tempatan seperti Escape, Medea Project, dan beberapa individu artis yang lain.

Langit petang yang suram dengan hiruk-pikuk kenderaan pulang dari kerja di tempat lain tidak lagi sama dengan kejiranan Padang Jawa. Di balik deruan enjin kenderaan, waktu petang di sini menjanjikan pemandangan yang berbeza.

Atas usaha gigih T.I.G.A yang mendapat kerjasama baik penduduk kampung, JKKK dan kelab belia sekitar, kini, kejiranan Padang Jawa bertukar wajah dan boleh diangkat sebagai sebuah destinasi pelancongan. Sebuah ‘perkampungan seni’ buat pertama kalinya dalam sejarah negeri Selangor.

Mengukuh perpaduan kaum melalui aktiviti melukis

Kedudukan kawasan kampung yang terletak di antara dua bandar ini menjadikan ianya satu kawasan campuran pelbagai kaum dengan penempatan komuniti Melayu, India dan Cina.

Bagi Aisyah, selain mendidik masyarakat mengenai peri-pentingnya menjaga kebersihan dan persekitaran, PJSAF yang berlangsung selama tujuh hari itu telah merapatkan lagi hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di sini.

“Kami menerima sokongan penduduk kampung dan ketika festival ini berlangsung, kami dapat lihat bagaimana masyarakat sekitar terutama remaja dan kanak-kanak berlainan kaum dapat berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama-sama.

“Biasanya, aktiviti majmuk sebegini cuma dapat dilakukan di sekolah atau padang bola sahaja,” ujar Aisyah.
Beliau berpendapat, usaha untuk memasyarakatkan seni ini harus terus mendapat sokongan penduduk, masyarakat sivik atau kerajaan dalam menjamin satu kerangka untuk mendidik masyarakat melalui seni sekaligus merapatkan jurang perbezaan antara kaum.

Meluaskan aktiviti komuniti untuk masyarakat

Walaupun PJSAF telah berlalu, T.I.G.A masih giat meneruskan aktiviti kesenian mereka dengan memperbanyakkan lagi lukisan mural dan grafiti dengan pembabitan remaja dan anak-anak muda setempat.

“Selain melukis, kita juga membuat kelas membaca secara percuma untuk kanak-kanak yang dijalankan di pusat komuniti kami di sini (Pusat Sekitar Seni) hampir setiap hujung minggu,” jelas Aisyah.

Katanya, T.I.G.A turut merancang memperluaskan lagi aktiviti mereka seperti penganjuran bengkel percuma seperti bengkel penulisan, lukisan, asas fotografi dan sebagainya.

“Pusat Sekitar Seni ini mempunyai ruang yang selesa dan cukup untuk menjalankan aktiviti dalaman dan kita berharap masyarakat kampung terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak mendapat manfaat,” kata beliau.

Bagi seluruh penduduk di Shah Alam mahu pun di seluruh negara, usaha komuniti ini dalam memasyarakatkan seni perlu menjadi perhatian dan diberi sokongan samada dalam bentuk peralatan atau kewangan.

Di akhir perbualan kami, Aisyah menegaskan bahawa hasil karya seni tidak hanya eksklusif di galeri yang jauh daripada masyarakat. Seni juga harus memasyarakat dan dimasyarakatkan.

“Seni perlu memberi sumbangan dalam membentuk sebuah persekitaran kejiranan yang ideal dan kukuh,” katanya.

T.I.G.A boleh dicapai dalam talian di tindakangerakasuh@gmail.com atau melalui www.facebook.com/streetartfest2013pdgjawa atau terus hubungi 013-6613243 (Aisyah Baharuddin)