Thursday, 24 November 2011

Tanah Secupak: Dokumentari komuniti


Tanah Secupak merupakan sebuah okumentari tentang sejarah dan survival sebuah kampung yang terletak di tengah-tengah bandaraya Ipoh. Dikelilingi taman-taman perumahan dan pembangunan, Kampung Kepayang merupakan satu-satunya kampung Melayu Tradisional yang masih menjadi pilihan sebahagian warga sebagai tempat berlindung.

Selain suasana hijau desa yang masih wujud, Kampung Kepayang mempunyai keunikan tersendiri, menarik dan sewajarnya diangkat dan didedahkan sebagai satu warisan dan kebanggaan untuk generasi kini dan akan datang. kampung yang menjangkau usia lebih 100 tahun ini mempunyai lagenda dan latar sejarah yang menarik. Secara langsung menjadikan ia satu kelebihan berbanding kampung-kampung lain yang terdapat disekitar Ipoh dan negeri Perak amnya.

Dokumentari ini merungkai susur galur sejarah Kinta sebermula abad ke 15 lagi, Perang Perak pada 1875 melibatkan Sultan Abdullah, Sultan Ismail, Dato' Maharaja Lela dan JWW Birch.Turut diselitkan adalah lagenda popular mulut ke mulut mengenai Gunung Mat Sirat dengan mitos Sang Kelembai dan istana raja yang menjadi batu.

Disamping mengetengahkan sisi sejarah dan lagenda, dokumentari ini turut berkongsi pandangan dan buah fikiran penduduk kampung serta tokoh akademik berkenaan cabaran dan masa hadapan kampung berkisar kepada permasalahan tanah dan pembangunan. Tanah secupak yang diterbitkan ini adalah salah satu usaha kecil Continuallybebas untuk memelihara dan mengangkat warisan kita yang semakin hari semakin tenggelam  dalam bingit sesak kota.

Nantikan kemunculannya kepada publik Disember ini!

Wednesday, 16 November 2011

Elasi frantik


Warna-warna siang makin larut
hilang dalam ruang redup. pekup. malap. gelap. 
busuk.
muncul bangkai-bangkai hidup mohon kasihan.
gila!!! 
api itu telah lama sepi dan manusia-manusia telah lama gila.
bersatu atas nama celaka-celaka besar. sial-sial suci..
merobek. mencengkam. membunuh wujudiah jiwa-jiwa kudus.
dan menghambat fana itu sehingga ia lelah dan mati.
lelah, mati, lenyap.
buat kamu dan aku.
kita umpama belon-belon hidrogen yang bebas.
 
Kuala Lumpur
24 Oktober 2009

Sunday, 13 November 2011

Rinduku Pada Pakaian-Mu

Oleh: Rahmah Basri

Suatu ketika,
Hening subuh menanti dengan setia
Mengunggu cahaya siang datang menjelma
Kalam itu tiada dibilang
Sunyi dan sepi menyapa aksara iman
Takat-takat taqwa berdetik
Menyuluh zikir di taman jantung
Yang berdegup denyutan nama zikir
Maha Suci Allah...Maha Suci Allah...

Lantas tilam putih empuk ditidur
Menjadi lantai badan berehat
Ku ambil rantai tasbih
Ucapan cinta dikumitkan dengan bibir berdosa
Ampuni aku Allah tatkala taqwa pada hari ini hilang seketika
Mungkin lahir maksiat tiada pintunya
Namun bimbang riak dan mazmumah kunci dosa
Jari berjalan dan berlari mengejar permata tasbih
Rindunya aku padamu Allah
Lidah tiada bukti cinta
Namun hatiku berkata-kata
Terus berkata mengucap tasbih...rahmatMu
Mata terus merenung dosa
Dosa pada alam…
Dosa pada makhluk…
Dosa pada Nabi...

Ku celikkan mata untuk disantap doa malaikat
Tiada jua mampu tertutup...

Tuesday, 8 November 2011

Tayangan Filem 'JLN. Pintas'

Projek Rabak dan Ipoh Hainan Chicken Rice dengan kerjasama Rumah Anak Teater mempersembahkan:

# Tayangan Filem 'JLN. Pintas'
Masa
Rabu 30 November;  8:00pm - 11:00pm
Tempat
The Happening, Ipoh Hainan Chicken Rice 
(satu jalan dengan pawagam lama RUBY)
107, Jalan Raja Musa Aziz, 30300


Jalan Pintas merupakan sebuah cereka yang berkisar tentang watak Bakar -seorang pemuda lepasan ijazah dalam jurusan kejuruteraan , juga seorang anak lelaki tertua dalam keluarga (yang tidak lagi berbapa), yang datang ke Kuala Lumpur dari kampung, untuk mencuba nasib demi menjalankan tanggungjawab terhadap ...keluarga –ibu dan seorang adik perempuannya.

Melalui Jalan Pintas, kita melihat watak seorang pemuda yang biasa, yang boleh kita jumpa di mana-mana, yang menjadi mangsa kepada janji-janji delusi Kuala Lumpur. Menelusuri perjalanan yang Bakar tempuhi dalam ruang waktu satu hari – dari pagi ke petang, hanya dengan tujuan untuk menghadiri sesi temuduga; kita sebenarnya tanpa sedar sedang melihat sebuah kehidupan seorang manusia, yang terperangkap antara harapan dan beban, hingga akhirnya, disebabkan kenyataan, angan-angan berubah menjadi dendam.

Bakar yang sentiasa membiarkan pilihan-pilihan hidup bermain di ruang ciptaan kotak fikirnya, tanpa sengaja telah menghasilkan justifikasi kebarangkalian serta risiko yang bakal dihadapinya untuk setiap pilihan yang bakal dibuat. Dan pada akhirnya, Bakar, juga kita, tetap keliru; apakah kita yang terlalu bodoh dan dungu, atau takdir hidup memang seharusnya begitu?

PELAKON: Auf Abd Razak, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Mislina Mustafa, Sara Ali, Fikhree Bakar, Sharifah Amani, Xavier Fong, Dina Zainal, Yaya Nazri, Beto Kushairy, Rizainuddin, Azhanrani dan ramai lagi.

PENGARAH: Nam Ron
SKRIP: Nam Ron & Fared Ayam
PRODUSER: Faisal Mustaffa

SEBARANG PERTANYAAN, HUBUNGI:

Natasha: 017-5058314
Yvonne: 019-5429779

Facebook: https://www.facebook.com/pages/Projek-Rabak/158914930826399
Twitter: www.twitter.com/projekrabak
Emel: projekrabak@gmail.com