Oleh: Amaluddin Zhafir
...Takut adalah salah faham diri sendiri selain malu. Untuk melihat kamu dan mengeluarkan segalanya, adalah fantasi. Bukankah cinta itu buta, menakutkan?
Tidak rugi jika terlewat atau tidak akan lewat kalau rugi dalam hal bercinta. Aku genggam ini seperti kali terakhir aku genggam tangan kamu. Lima tahun dan lelaki kegemaran kamu ini terus menerus menghampakan cita-cita kamu.
Perkahwinan adalah jenaka kepada percintaan. Walaupun aku dah tak mampu melihat wajah kamu, menyentuh tubuh kamu atau menghidu badan kamu, cinta aku takkan hilang. Ianya adalah langkah revolusioner seorang manusia mampu lakukan. Tetapi yang lucunya ialah, ianya tidak memerlukan wang ringgit!
Sedikit keberanian.
Keberanian kita lima tahun dahulu adalah apa yang membentuk kita untuk masa hadapan. Perkahwinan adalah janji, cinta ialah impian sejati.
Sekarang, kita sudah berhenti berhubung. Dua ribu tahun tanpa komunikasi adalah hukuman paling berat untuk kesemua makhluk hidup. Ingatkah lagi cerpen Maupassant berkenaan burung yang sanggup mati bersama kekasihnya?
Jarak adalah ruang, komunikasi adalah masa, dan kita adalah jirim. Ketiga ini asas alam ini.
Cinta tak memerlukan ini.
Minta maaf sebab menjauhkan diri. Takut? Ya. Malu? Ya. Lima tahun sudah kita terlalu bergantung kepada janji. Janji tak mengubah, janji adalah cita-cita. Kesannya memenjarakan perasaan. Kebergantungan padanya adalah kerlipan pudar perasaan yang dibina lima tahun dahulu.
Memilih untuk tidak mengangkat seruan kamu, juga adalah antara perkara yang paling keji pernah kita lakukan. Untuk itu, jika kamu ingin tahu, aku terlalu takut dengan masyarakat. Dalam masa yang sama, aku mahu kita saling kesunyian. Bukankah kesunyian ialah sakit yang paling mengajar?
Tetapi aku belum belajar. Kamu muda, aku juga muda. Dalam bercinta kita takkan tua. Yang tua hanyalah janji. Dan janji boleh diubah. Cinta?
Kali terakhir, aku terlalu marahkan kamu yang mengangkat isu perkahwinan. Gadis Melayu seperti kamu, sudah tentu mahukan harapan perkahwinan. Sekali lagi, aku terpaksa tegaskan (dan aku sangat sakit), aku tak yakin akan perkahwinan. Aku menghormati pasangan yang boleh mempunyai ikatan tanggungjawab. Aku boleh berikan salah satu.
Kau tahu yang mana.
Minta maaf. Lelaki adalah makhluk ego dengan ‘tetapi’ yang banyak.
Aku faham Kecantikan. Masalahnya aku terlalu jahil untuk meletakkan fikiran di dalam jaringan hukum moral. Aku pernah dan aku tenggelam. AKu petik Oscar Wilde di sini: “There is no such thing as moral or immoral.” Tetapi menjauhkan diri dari kamu, bukan bermaksud mempunyai citarasa seksual sepertinya.
Boleh sahaja aku lafazkan “minta maaf” yang melebih-lebih di sini. Ianya tak membawa sebarang makna bila aku tak memahami kehendak kamu.
Ya, aku mahu menjadi lelaki yang berada di sebelah kamu sebelum kamu bangun dari tidur sehingga minuman terakhir yang kita kongsi sebelum ke katil. Perasaan selamat, perkongsian tanpa had. Seperti mahu menarik tangan kamu ke dunia itu. Pintunya terbuka memanggil, kuncinya ialah perasaan kita dan halangannya cuma...
Untuk memanipulasikan agama dan kehendak masyarakat, aku belum.-end