Sunday, 6 November 2011

Seni sebagai motivasi protes

Oleh: Muhammad Nazreen

Seni merupakan pengucapan sosial yang dirumuskan hasil daripada tindakan yang dihasilkan seseorang sebagai reaksi kepada sebuah kejadian di dalam bahasa yang diperbesarkan. Maka, dalam merungkai makna sesuatu pengucapan itu, manusia cuba untuk memperlihatkan tindakan dengan bibit-bibit ucapan yang diluahkan.

 Sebagaimana puisi, dengan mempamerkan bicara terhadap tindak balas acara kejadian itu, 'kata' mampu merungkapkan kewenangan dan keberlakuan penindasan. Daripada acara itulah, kita melihat bagaimana kata yang kemudiannya dipertontonkan di dalam bahasa seni bisa mendorong ke arah perlawanan atau protes terhadap perkelahian dan penindasan yang berlaku.

Seni sebagai bentuk protes. Itu adalah tema yang saya cuba untuk rakamkan di dalam perkongsian catitan-catitan yang akhirnya memberikan kata kebebasan terhadap bentuk seni itu sendiri. Sebaiknya, saya memulakan tulisan ini dengan tafsiran seni itu sendiri dan bagaimana paradigma kesenian itu akhirnya mampu untuk menganjakkan motivasi protes terhadap sesuatu kejadian. Seperti yang kita sedia maklum, seni itu merupakan suatu proses yang dihadapi manusia. Sebarang tindakan manusia terhadap alam itu bisa dikategorikan sebagai suatu seni. Lantas, bahasa seni merupakan bahasa yang paling mengangkat nilai-nilai kebersamaan antara manusia. Jambatan yang menyatukan nilai-nilai kemanusiaan adalah hasil daripada tindakan seni yang paling absolut.

Lantas, bagaimana seni itu mampu mengangkat dan dimotivasikan sebagai adat perlawanan atau dalam erti kata lain sebagai sebuah protes? Penyajak terkemuka, Czeslaw Miosz di dalam Witness of Poetry merakamkan bagaimana sebuah kesaksian itu penting dalam merungkai permasalahan yang paling akar dalam masyarakat. Bermula dengan rencam kesaksian sebagai tema utama pengucapan akhirnya kita akur bahawa kejujuran merupakan nilai penting bagi sebuah karya seni untuk kekal relevan. Bahkan, Mahmoud Darwish dan Pablo Neruda juga memperakui pena dan pengucapan merupakan senjata yang paling akar memecahkan tabu-tabu kebiasaan. Bahasa pengucapan juga akhirnya berkembang di dalam disiplin menegakkan perkara yang paling sejagat dalam ertikata kemanusiaan. Sebagai, contoh, bentuk kesaksian puisi merakamkan kezaliman dan penindasan yang dilalui kelompok itu. Lantas, kata-kata yang terucap kemudiannya mampu memberahikan masyarakat melawan penindasan. Maka, bermulalah rencam seni diacarakan sebagai budaya berontak

Seni sebagai sebuah protes ada keberlakuannya. Hasil daripada kesaksian kata-kata yang terucap, tentu sahaja luahan bahasa yang tertindas itu mampu mendapat simpati kelompok yang mengalami keadaan yang sama. Lalu, mereka memilih untuk berontak melawan kitaran-kitaran budaya yang mengongkong, melahirkan iltizam kebebasan dan memecahkan garis-garis absurd yang mereka timpa. Maka, bahasa seni mula dibudayakan di dalam bentuk protes. Novelis terkemuka,Albert Camus di dalam Myth of Sisyphus memperlihatkan bagaimana tindakan Sisyphus menghentak batu di kepalanya sendiri secara berulang-ulang tanpa henti merupakan sisi-sisi gelap bagaimana kitaran yang berlangsung secara berterusan itu akhirnya merugikan Sisyphus itu sendiri. Maka, Sisyphus memilih untuk berontak terhadap kejadian alam yang dilalui. Di sini kita lihat Camus mengkritik kejadian yang berulang-ulang sedangkan natijahnya seorang manusia itu melalui kitaran yang berubah mengikut hukum dan tindakan terhadap kejadian. Lantas, bahasa seni merupakan bahasa yang paling kritis menonjolkan imej-imej protes sebagaimana Camus berontak terhadap gambaran kitaran hidup yang berulang yang akhirnya menjadi bentuk yang paling samar.

"Man cannot possess anything as long as he fears death. But to him who does not fear it, everything belongs. If there was no suffering, man would not know his limits, would not know himself. " (War And Peace)-Leo Tolstoy. Kata-kata ini cukup menggambarkan naratif besar yang Tolstoy cuba sampaikan sebagai seni di dalam bentuk protes. Tolstoy menjelaskan bagaimana perlawanan terhadap kejadian manusia itu diabsahkan menjadi pedoman untuk melawan kebobrokan pemerintah misalnya. Malah, selain Tolstoy, kita juga melihat bagaimana George Orwell di dalam novel 1984 dengan nada penuh sinis menggambarkan kekuasaan totalitarian yang mengawal bentuk pemikiran masyarakat juga sebenarnya membudayakan protes separa sedar sebagai bentuk tema yang diwacanakan beliau. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa motivasi budaya berontak itu idealnya datang dari hasil-hasil kata dan penulisan sastera. Bahkan, kekuatan sastera mampu dilestarikan di dalam keadaan masyarakat yang tertindas sebenarnya. Malah, penulisan satira yang sinikal terhadap pergolakan budaya sebenarnya menjadi soldadu perjuangan di atas kertas. Sifat berontak yang direncanakan sebenarnya lebih terkesan melalui teras pengucapan berbanding tindakan fizikal pada awalnya.

Untuk lebih mendekatkan kita tentang budaya seni protes, lihat sahaja penulisan-penulisan sastera nusantara. Hikayat Abdullah yang dikarang Abdullah Munshi sudah cukup menjelaskan bagaimana etika seorang Abdullah Munshi yang mengkritik budaya masyarakat melayu pada zamannya. Bahkan tindakan-tindakan radikal yang dicetuskan seperti menterjemahkan kitab Bible ke dalam bahasa melayu, memandang keperluan sistem barat di dalam masyarakat yang berpegang utuh dengan kebudayaan yang mengangkat nilai-nilai ketimuran menggambarkan protes yang besar di dalam konteks kemasyarakatan ketika itu. Hikayat Faridah Hanum tulisan Syed Syeikh Al Hadi turut menzahirkan sejarahnya yang tersendiri. Merujuk kepada rencam kebudayaan ketika itu, tindakan mengangkat kaum hawa dalam arca yang lebih feminis diikhtiarkan lantas memecahkan ketebalan aspek-aspek konservatif sepertimana yang kita sedia maklum ianya merupakan kebiasaan daripada adat dan kepercayaan lama bahawa nasab wanita tidak terbanding dengan lelaki. Tindakan berani Syed Syeikh Al Hadi meletakkan subjek kewanitaan pada suatu sisi yang memperihalkan bagaimana acara protes di dalam kitaran budaya itu sebenarnya telah pun terjadi.

Ternyata, acara seni mampu dipilih sebagai motivasi melaksanakan protes. Protes yang saya maksudkan di sini tidak semestinya berada di atas nilai kebudayaan, sosial ataupun politik kekuasaan tetapi boleh didasarkan kepada tindakan sedar masyarakat untuk keluar daripada garis-garis penyelarasan. Maka, seni adalah jalan escapist bagi kita untuk meloloskan diri dari cengkaman ketat yang disistemkan. Lantas, ruang-ruang kosong yang tertinggal di dalam sisi-sisi seni sebenarnya adalah kekuatan yang mutakhir untuk menggerakkan massa. Hemat saya cuba menilai bahawa seni juga mampu untuk dibudayakan sebagai motivasi protes.

*Tulisan ini telah disiarkan di dalam Roketkini.com

No comments:

Post a Comment