Monday 12 December 2011

Tanah Secupak: Harapan untuk Kampung Kepayang

Oleh: Hafiz Zainuddin

Tanah Secupak dalam Festival Dokumentari Finas ke 3

Tanggal 25 November lalu Continuallybebas telah meghantar penyertaan dokumentari yang dihasilkan berjudul Tanah Secupak: Disebalik Kampung Kepayang. Penyertaan Continuallybebas dalam Festival Dokumentari Finas ini merupakan julung-julung kalinya yang tidak lain tidak bukan untuk mengetengahkan sejarah, isu dan permasalahan berkaitan Kampung Kepayang sebagai salah sebuah kampung tertua di Ipoh setaraf kewujudan Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Festival ini telah disertai lebih 100 penyertaan dari individu dan pelbagai syarikat penerbitan dan perfileman berpengalaman.

Kemuncak kepada festival ini adalah Malam Anugerah Festival Dokumentari Finas yang berlangsung pada 11 Disember 2011 baru-baru ini bertempat di Studio Sound Stage Finas dengan kerjasama Crossing Borders International Forum Pitching Forum dan The 1st Finas Documentary Campus Conference.

Komuniti Continuallybebas merupakan satu-satunya komuniti yang mengambil bahagian.Walaupun tidak memenangi apa-apa kategori-malah Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang merupakan dokumentari bajet dengan peralatan dan krew yang sangat minima dan bersifat indipenden.

Walaubagaimanapun, dokumentari ini secara langsung telah mengetengahkan idealisma dan kepedulian Continuallybebas terhadap permasalahan Kampung Kepayang dan segala isu yang berkaitan agar didengari dan diambil perhatian sewajarnya.

Antara krew yang terlibat menjayakan dokumentari ini ialah Kyl Mohammad sebagai Sinematografer dan Penyunting, Faizal Zainol sebagai Pengarah, Ezham Mohd. Noh sebagai Jurufoto dan saya sebagai penulis skrip. 

Kepedulian komuniti dan liputan media

Dalam tempoh pembikinan dokumentari ini; Continuallybebas mengmbil langkah proaktif dengan mempromosi usaha ini melalui blog dan group facebook: Kampung Kepayang yang boleh dilayari sebermula 15 Oktober 2011. Hasilnya, samada secara kebetulan maupun tidak, pada 25 November 2011, isu berkenaan Kampung Kepayang telah diterbitkan dalam akbar The Star ruangan StarMetro liputan wartawan Roshidi Abu Samah dengan tajuk 'More can be done here : Traditional village hidden in the heart of the city seeks progress'.

Liputan berita oleh wartawan The Star; MetroPerak tersebut antara lain mengetengahkan isu kekurangan pembangunan di Kampung Kepayang melalui tembual mereka bersama Ketua Kampung Kepayang yang baru iaitu Encik Mukhtar Mahmud yang telah membuat perbandingan pembangunan antara Gugusan Manjoi dan Kampung Kepayang.

Continuallybebas menghormati apa sahaja pandangan dan pendapat yang diketengahkan. Yang pastinya, Kampung Kepayang dan Gugusan Manjoi merupakan dua buah residensi yang jauh berbeza kerana Kampung Kepayang merupakan sebuah kampung tradisonal Melayu dengan 300 buah rumah melibatkan lebih kurang 1000 penduduk manakala Gugusan Manjoi pula merupaka sebuah perkampungan Melayu moden dengan 6409 buah rumah dengan lebih 31000 penduduk dan dijangka terus meningkat untuk tahun-tahun mendatang.

Persoalan utamanya ialah bagaimanakah pembangunan kampung yang diharapkan?

Menurut Mukhtar Mahmud ketika ditemubual, beliau berkata bahawa “Sekiranya kerajaan negeri merancang untuk membangunkan kawasan tersebut. Kali ini penduduk kampung perlulah menurut kehendak kerajaan. Kita cuma berharap agar pembangunan tersebut tidak akan memberi kesan terhadap identiti tradisional kampung.” Continuallybebas merasakan bahawa ia sesuatu yang mustahil kerana pembangunan mana yang tidak memberikan kesan?

Secara kasar, kita harus setuju dengan pembangunan infrastruktur melibatkan kemudahan saliran, pembinaan Klinik Desa dan Balai Polis tetapi untuk pembangunan yang akan menorbankan puluhan ekar malah memaksa penduduk kampung menjual tanah mereka, itu merupakan satu penganiayaan dan pengkhianatan terhadap penduduk kampung yang sebahagian besarnya membesar dan mewarisi tanah dan rumah pusaka nenek moyang mereka sejak berdekad lamanya.

Continuallybebas sangat bersetuju dengan pendapat Mantan Pengarah Pertanian Perak Encik Arifin Abdul Latif dalam temubual krew Tanah Secupak di rumah beliau pada November lalu agar program-program pembangunan yang bakal dilaksanakan melibatkan program pembangunan intelek dan melibatkan penyertaan kolektif penduduk seperti membangunkan IKS, menggalakkan pertanian dan penternakan, menggalakkan perusahaan homestay, memajukan industri pelancongan Kampung Kepayang dengan daya tarik Gua Matsirat dan banyak lagi. Ia samasekali jauh dengan pembangunan 'fizikal' yang secara langsung mencancam imej 'Kampung Tradisonal Melayu tertua di Ipoh'.

Berbalik kepada dokumentari Tanah Secupak: Di Sebalik Kampung Kepayang, dokumentari yang mengambil masa 32 minit 32 saat ini diharapkan menjadi titik tolak kepada kepedulian masyarakat sekitar Ipoh, Perak malah kerajaan negeri sendiri agar Kampung Kepayang terus kekal dengan imej Kampung Melayu Tradisonal tertua di bandarraya Ipoh. Continuallybebas berharap semoga Kampung Kepayang akan terus dipertahankan sebagai warisan kita bersama.-end

1 comment:

  1. Syabas kpd usaha kalian... continuallybebas: suara anak-anak proletar ipoh

    laporan ringkas tapi bernas... saya ucapkan syabas, teruskan usaha murni agar kampung kepayang mendapat tempat sewajarnya di kacamata penduduk setempat, bandaraya ipoh dan negeri perak amnya... kinta tidak seharusnya dikenali sebagai bekas kawasan perlombongan bijih timah tersohor sahaja yg darinya menempatkan ipoh sbg bandar terbanyak adanya mercedes!

    jangan pulak hilang mercedes datang pulak aedes!

    ReplyDelete