Saturday 3 December 2011

Esei dan kejujuran sosial

Oleh: Muhammad Nazreen

Semua penulis mempunyai hasrat mereka sendiri. Lalu, mereka memilih untuk berkongsi pengalaman di atas helaian kertas. Saya teringat bagaimana Henry Miller, seorang penulis dan sasterawan Amerika yang pernah dianggap sebagai Bapa Kesusasteraan Moden Amerika sebenarnya menulis hanya untuk menjadi kurang ajar. Magnum opusnya, Trophic of Cancer memang cukup dikenali dengan sinikal yang teramat seksis.  Sehinggakan kebanyakan pembaca wanita meluat dengan bentuk penulisannya yang gemar meneroka di sebalik tirai perhiasan mereka itu. Tetapi, perkara yang saya cuba sampaikan di sini bagaimana Miller menyampaikan kejujuran di dalam babak-babak penulisannya. Dia juga mengkritik budaya masyarakat pasca kolonial yang penuh dengan nilai-nilai kepalsuan. Bagi Miller, manusia tetaplah akan menjadi manusia. Kesilapan dan kebiadapan merupakan perkara yang tidak terasing lagi. 


Tetapi, apakah mereka yang beriman dengan budaya kepalsuan ini percaya tentang penerimaan batas? Batas yang saya maksudkan di sini ialah pengakuan tentang dosa dan kesilapan yang dilakukan.
  
Ada benar kata Marx, keterasingan jualah yang memungkinkan manusia untuk hilang jati diri kemanusiaan. Mungkin pembacaan Marx mengganggap duit yang menjadi rantai kepada pembebasan manusia. Tetapi bagi saya, kepalsuan adalah bentuk keterasingan yang paling meluas sekali sifatnya. Lantas, mungkin bagi saya kata-kata hikmat Jean Jaqcues Rosseau '*Man is born free, but everywhere he is in shackled' *adalah justifikasi terbaik tentang bentuk keterasingan itu sendiri sebagai pendapat peribadi saya. Manakan tidak, ada yang lebih rela membenarkan diri mereka untuk diobjekkan manusia lain. Jean Paul Satre, filusuf eksistensial berbangsa perancis menggambarkan perkara ini sebagai 'Malaise' atau dalam tafsiran mudah iaitu 'mengobjekkan diri untuk dijadikan subjektif '. Nah, pragmatiknya manusia mengejar kemodenan dan mencari hedonisme tanpa mengaku akan penerimaan batas tentang reality bergelar manusia. Berbalik semula kepada Miller, dia tidak sama sekali segan untuk mendepani budaya, memecahkan tabu yang membelenggui kehidupan masyarakat Amerika ketika itu. Lantas, sebagai suatu usaha pembebasan, Miller memilih untuk berlaku jujur di dalam penulisannya. Dia berani untuk meletakkan seks sebagai tema penulisannya. Dia juga mencetuskan penggunaan kata-kata kasar seperti kelentit (atau klitoris) dan berbagai perkataan yang dianggap sebagai counter-culture di Amerika di awal 1920an. Bagi Miller, bahasa kasar adalah keberlakuan bahasa yang jujur, bahasa bagi mereka yang ditindas. Penggunaan frasa-frasa yang keras ternyata bukan lagi bentuk kepalsuan kerana manusia sudah berani melepaskan diri daripada keterikatan bahasa.

Di bumi Indonesia, pastinya ramai yang kenal akan sosok tubuh ini. Beliau yang lebih mesra dengan gelaran Bung Pram ini punya penghormatannya sendiri. Hidupnya di era bermulanya gagasan Pancasila di bawah pemerintahan Soekarno ini banyak memberikan beliau pengertian yang mendalam berkenaan erti kejujuran. Nama sebenar tokoh ini adalah Pramoedya Ananta Toer, seorang novelis, satira, dan seniman yang punya harga tersendiri dalam kalangan rakyat Indonesia. Bahkan, ada yang mengangkatnya sebagai bapa persuratan Indonesia. Tokoh ini juga punya catitan tersendiri terhadap pengalamannya memenangkan kejujuran. Hukuman penjara dan ancaman lain sering sahaja mengisi ruang-ruang di dalam hidupnya. Sebahagian besar novel yang dikarang penulis ini juga dikarang di sebalik tirai-tirai besi sang penguasa. Seperti Miller, penulis radikal ini juga punya matlamat yang sama yakni menyampaikan kejujuran di sebalik puisi-puisi yang ditulisnya. Buru Quartet masih diakui sebagai cerita epik yang terbaik dikarang oleh sosok penulis ini. Bahasanya yang mudah tetapi punya pedoman dan kritik yang cukup besar, tidak salah juga sekiranya saya menganggapnya sebagai sebuah karya agung. Tetralogi pertama di dalam epik ini ialah The Earth of Mankind. Buku yang dianggap sebagai ancaman penguasa ketika itu kerana sejujurannya mengkritik budaya sang pemerintah yang rakus menindas rakyatnya. The Earth of Mankind menceritakan penyeksaan yang dihadapi rakyat Indonesia di bawah jajahan kolonial belanda. Novel ini semestinya menjadi bacaan wajib kepada pejuang-pejuang nasionalis membebaskan bumi Indonesia daripada cengkaman penjajah. Seperti yang saya bilang, isi cerita cukup mudah difahami dan mampu untuk dihayati pembacanya tetapi bukan itu matlamat yang paling utama. Matlamat utama Bung Pram adalah menyampaikan kejujuran kepada rakyatnya. Pada akhirnya, kejujuranlah yang dapat mengilhamkan pembebasan rakyat.

Selain Miller dan Pramoedya, saya juga mengagumi penulisan Fathi Aris Omar di dalam bukunya, Patah Balek. Pada hemat saya, beliau adalah contoh penulis tempatan yang berani menegur dan memberi kritikan jujur terhadap budaya politik tanahair. Sehinggakan pimpinan PAS mulai tidak senang dengan etika penulisan beliau yang sering mengkritik tokoh-tokoh ulama di dalam PAS. Bagi beliau, perkara yang paling penting dalam penulisan adalah meletakkan asas kebenaran walaupun ianya begitu untuk ditelan. Akibat daripada kritikan tajam beliau terhadap pimpinan Pas terutamanya kelompok ulama' di dalam parti itu, ada usaha untuk menjalankan provokasi terhadap tulisan-tulisan beliau. Di dalam Patah Balek, beliau juga dengan nada keras mengkritik slogan reformasi yang dilaungkan itu hanyalah sekadar permainan retorik yang sebenarnya tidak mengandungi apa-apapun intipati perobahan melainkan hanyalah mempelihara maruah seorang pemimpin yang dijatuhkan sang dictator Mahathir. Tambahan pula, esei-esei di dalam Patah Balek juga melihatkan bagaimana pejuang yang kononnya pro-reformasi akhirnya terperangkap di dalam gagasan Mahathirisme setelah sampai ke puncak kekuasaan.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini bukanlah untuk menceritakan kembali perjalanan buku Patah Balek tersebut tetapi tentang bagaimana peritnya untuk menjadi seorang yang jujur di dalam penulisan. Pastinya begitu mudah penulis-penulis ini  diherdik, diperlekehkan serta tidak disenangi masyarakat sekelilingnya. Walaubagaimanapun, kebenaran pasti akan terbongkar jua ibarat kata pepatah melayu klasik sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Pepatah ini tanpa disedari juga bersifat sinikal terhadap mereka yang sedang bergelumang dengan kekuasaan sehinggakan terpaksa menutup mata ketika korupsi  sedang berjalan di hadapan mata mereka.  

Sudah tiba masanya untuk kita membebaskan diri daripada dunia yang palsu. Nescaya, rantai-rantai keterasingan yang membelenggui manusia akan tercabut dengan sendirinya apabila manusia itu sedar bahawa mereka sedang dirantai. Penguasa dan politisi seharusnya akur akan kejujuran penulis-penulis. Mereka tidak punya kepentingan untuk melukakan sesiapa tetapi mereka punya hasrat untuk melihat kemajuan masyarakatnya. Menutup dan menidakkan hak mereka untuk menulis umpama memisahkan bayi dengan ibunya.

Kehebatan bangsa itu diukur dengan kesediaan mereka menerima batas dan kesilapan yang lain. Akhirnya, kita harus akui bahawa esei adalah catatan sosial yang punyai kejujuran tersendiri.

No comments:

Post a Comment